Saiz Font: Warna:
A- A+
Langgan RSS


PENYATAAN ETIKA DAN KOD TATAKELAKUAN 

Etika Kerja LLM menggariskan nilai-nilai teras, nilai-nilai sokongan dan etika kerja yang perlu dihayati dan diamalkan oleh semua warga LLM.  

PENGERTIAN NILAI  

Pada umumnya, nilai boleh ditakrifkan sebagai kepercayaan yang mendorong pemikiran, tingkahlaku dan amalan kerja seseorang atau sesebuah institusi untuk bertindak mengikut pemilihan yang berasaskan norma-norma utama masyarakat. Nilai merangkumi kepercayaan dan tingkahlaku yang membentuk keperibadian. Manifestasi nilai tersebut terserlah melalui sikap, tatakelakuan dan pegangan hidup seseorang.   

 NILAI-NILAI TERAS LLM 

Warga LLM perlu menghayati dan mengamalkan nilai-nilai teras (core values) seperti berikut :

AMANAH : Memelihara dan melaksanakan tugas serta tanggungjawab mengikut agama, undang-undang dan peraturan-peraturan tanpa mengambil kesempatan untuk faedah atau kepentingan diri;

BIJAKSANA : Bertindak dengan penuh hemah dan rasional dengan menggunakan segala sumber yang ada ke arah pencapaian matlamat dan hasil yang berkualiti;

TELUS : Menyampaikan sesuatu melalui perbuatan termasuk penulisan dan percakapan kepada yang sepatutnya dengan jelas dan terbuka tanpa berselindung;

BERSYUKUR : Menghargai dan redha di atas setiap nikmat dan pemberian dengan menzahirkan melalui tindakan bekerja dengan penuh tekun, patuh kepada arahan, sabar menerima dugaan dan sanggup mengorbankan masa dan tenaga demi kepentingan jabatan, negara dan agama;

ADIL : Membuat sesuatu keputusan serta melaksanakan tindakan mengikut kehendak undang-undang dan peraturan yang ditetapkan dengan berani tanpa pilih kasih dan tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.   

NILAI-NILAI KEMBANGAN LLM 

Nilai-nilai kembangan adalah himpunan nilai-nilai universal yang baik dan terpuji yang perlu dihayati dan diamalkan oleh semua warga LLM. Penghayatan dan pengalaman nilai-nilai kembangan ini dapat mendokong pencapaian nilai-nilai teras LLM. Nilai-nilai kembangan LLM adalah seperti berikut :

Profesional : Sentiasa meningkatkan tahap kemahiran bagi menghasilkan perkhidmatan yang cekap, cepat, tepat dan berkesan serta memiliki ciri-ciri kreatif, inovatif, bermotivasi dan berdaya asing;

Berilmu : Sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan yang lebih luas dan mendalam untuk mempertingkatkan kecemerlangan diri dan organisasi;

Berdisiplin : Sentiasa mematuhi,mengikuti dan mentaati segala arahan dan peraturan kerajaan dan jabatan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.

Berakhlak : Sentiasa memperlihatkan sifat-sifat ketinggian peribadi yang luhur, jujur dan ikhlas semasa menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan;

Kemesraan : Sentiasa memberi layanan dan perkhidmatan kepada pelanggan dengan ramah mesra dan bersopan santun serta mengamalkan pergaulan yang akrab dan ramah mesra sesama warga LLM.

Jimat Cermat : Sentiasa mengelakkan diri daripada mengamalkan sikap boros dan tidak berhati-hati dalam perbelanjaan kewangan Kerajaan dan penggunaan sesuatu barangan;

Komitmen : Sentiasa menunjukkan sikap melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh bertenaga dan perhatian, sokongan serta keazaman / iltizam yang tinggi.

Peningkatan Kualiti Berterusan : Sentiasa berusaha untuk meningkatkan mutu dan darjah kecemerlangan diri dan organisasi;

Menghargai Masa : Sentiasa mempunyai sifat yang tahu menilai erti dan kepentingan masa dalam menjalankan tugas-tugas seharian;

Taatsetia : Sentiasa memberi taat setia yang tidak berbelah bagi kepada organisasi dan negara demi mempertahankan imej dan kedaulatannya;

Kebanggaan : Sentiasa bekerja dengan penuh rasa bangga sebagai warga LLM.
 

ETIKA KERJA  


Takrif Etika Kerja
Etika kerja ialah panduan tingkahlaku yang menjadi pegangan setiap warga LLM berlandaskan kepada nilai-nilai akhlak mulia.
 

Objektif Etika Kerja

 1.Menanamkan sikap positif dan menghapuskan sikap negatif dalam melaksanakan tugas-tugas seharian bagi mempertingkatkan kualiti kerja;

2.Meningkatkan disiplin diri bagi menghasilkan perkhidmatan yang cemerlang kepada pelanggan dan organisasi;

3.Memberi sumbangan positif yang berterusan kepada masyarakat, agama dan negara.

Etika kerja yang perlu dihayati dan diamalkan oleh semua warga LLM adalah seperti berikut :

1.Bekerja dengan penuh taat setia kepada negara, bangsa dan agama dengan matlamat untuk kebahagiaan manusia sejagat;

2.Bekerja dengan niat dan azam mengabdikan diri kepada Tuhan;

3.Bekerja sebagai satu ibadah dengan penuh jujur, ikhlas, adil, tegas, amanah dan cemerlang;

4.Bekerja sebagai satu pasukan yang mantap, bertimbangrasa dan saling hormat menghormati di antara satu sama lain;

5.Bekerja dengan sifat kesederhanaan, berhemah tinggi, kemesraan dan bersikap terbuka; dan

6.Bekerja dengan cekap, professional, menghayati dan mengamalkan ciri-ciri integriti serta akauntabiliti





Label  

Hakcipta Terpelihara © 2009 - Lembaga Lebuhraya Malaysia
Sesuai dipapar menggunakan Internet Explorer versi 6.0 dan ke atas (dengan resolusi 1024x768).